KEMALANGAN membabibtkan kereta api kargo dan KTM Komuter di Stesen Tanjung Malim. FOTO ihsan pembaca
Jalal Ali Mohd Abdul Rahim
jalal@nstp.com.my

MASALAH teknikal atau kesilapan kakitangan sendiri.

Dua fokus itu keutamaan dalam siasatan terperinci dilakukan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhubung kes pelanggaran tren KTM Komuter dengan tren KTM Kargo hingga menyebabkan lima penumpang cedera di Stesen Tanjung Malim, jam 6.02 pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Rani Hisham Samsudin, berkata buat masa ini punca sebenar pelanggaran itu belum diketahui dan dalam siasatan.

"Siasatan dimulakan secepat mungkin dan selesaikan siasatan itu juga secepat mungkin.

"Kita akan lihat hasil siasatan kita, ada dua kemungkinan (punca), sama ada masalah teknikal atau masalah krew atau kakitangan sendiri, jadi kita akan fokus dua perkara ini," katanya ketika ditemui NSTP selepas meninjau lokasi kejadian di stesen keretapi berkenaan hari ini.

Rani Hisham berkata, kejadian terbaru itu adalah yang kedua berlaku dalam tempoh dua tahun lalu selepas kejadian terakhir di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Beliau berkata, dalam kejadian hari ini, dua daripada enam koc tren komuter rosak agak teruk dengan keadaannya terperosok selain ada koc sedikit tersasar dari kedudukan rel.

"Apa yang penting adalah keselesaan penumpang sama ada yang terbabit atau pun tidak.

"Alhamdillah hari ini hanya lima orang cedera ringan dan dibawa mendapatkan rawatan di hospital sebagai pesakit luar," katanya.

Rani Hisham berkata, kerja sedang dilakukan di lokasi bagi memulihkan keadaan trek dan menarik tren bagi membolehkan laluan ke utara yang terjejas dapat dibuka semula bagi memastikan kelancaran perkhidmatan.

Katanya, pada masa ini hanya satu laluan dibuka di stesen berkenaan.

KTMB dalam kenyataannya pagi tadi mengesahkan lima daripada 20 penumpang tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter cedera dalam kemalangan itu.

Menurut kenyataan itu, tren KTM Kargo dengan muatan 30 gerabak memulakan perjalanan dari Stesen Jalan Kastam jam 2.15 pagi dan sepatutnya tiba di Terminal Kargo Ipoh (ICT) jam 7.50 pagi.

Menurut kenyataan itu, tren berkenaan kemudiannya dipercayai berlanggar dengan tren KTM Komuter yang ingin memulakan perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Pelabuhan Klang jam 6.05 pagi.

Katanya, kemalangan itu turut mengakibatkan kelewatan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) sektor utara dan KTM Komuter Tanjung Malim-Kepong.

Berita berkaitan:

5 cedera kemalangan kereta api

Kereta api kargo, KTM Komuter kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 2:00 PM