Safeek Affendy Razali
cnews@nstp.com.my

ENAM puluh lapan individu termasuk 18 wanita yang menyertai pesta dadah ditahan dalam tiga serbuan berasingan di tiga kondominium mewah di ibu negara, Sabtu dan Ahad lalu.

Tujuh daripadanya adalah pelajar sekolah menengah dan universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS)

Kesemua mereka berusia antara 16 hingga 35 tahun dicekup hasil maklumat awam dan risikan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata, dalam serbuan pertama yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada jam 3 pagi, Sabtu lalu , seramai sembilan lelaki dan lima wanita berusia 20 hingga 15 tahun di kondominium mewah di Jalan Cendana.

“Hasil pemeriksaan ujian air kencing ke atas mereka, lima lelaki dan tiga wanita didapati positif dadah syabu (methamphetamine) dan ganja.

“Dua wanita dan seorang lelaki terbabit didapati adalah pelajar universiti awam, manakala seorang lagi lelaki adalah penuntut IPTS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selang sehari kemudian, pasukan dari bahagian yang sama, turut menggempur sebuah lagi unit kondominium di Jalan Sultan Ismail, pada 3,.30 pagi dan menahan sembilan lelaki serta empat wanita berusia antara 17 hingga 21 tahun.

“Dalam serbuan ini, polis turut menemui dadah jenis ganja seberat 5.0 gram serta lima biji pil ekstasi selain mendapati kesemua mereka yang ditahan positif dadah jenis ganja, ketamin serta methamphetamine.

“Dua lelaki yang ditahan adalah penuntut universiti awam dan IPTS manakala dua lagi lelaki didapati masih di bawah umur,” katanya.

Mazlan berkata, pada hari yang sama, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Pantai, IPD Brickfields, turut menggempur tiga unit kondominium di Jalan Abdullah Hukum dan menahan 32 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 16 hingga 35 tahun.

Katanya, 12 lelaki dan dua wanita didapati positif dadah methamphetamine, manakala empat lagi lelaki positif dadah ganja.

Dua dari mereka yang positif adalah remaja bawah usia 18 tahun termasuk seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah.

Kesemua tangkapan terbabit ditahan reman selama lima hari sehingga esok (18 Oktober)

Dia ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 serta Sekysen 12(2) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 8:27 PM