FOTO Hiasan
Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@nstp.com.my


KERAJAAN Selangor sudah bersiap sedia menghadapi kedatangan monsun timur laut terutama di kawasan yang berisiko tinggi di negeri itu.

Unit Pengurusan Bencana Selangor, dalam satu kenyataan hari ini berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia di Selangor meramalkan purata hujan bagi tiga bulan terakhir 2018 antara 200 hingga 370 milimeter (mm).

Berdasarkan kepada sumber jabatan itu, purata hujan dijangkakan antara 210 mm hingga 320 mm pada Oktober, 250 mm hingga 370 mm pada November dan antara 200 mm hingga 300 pada Disember.

Pusat Hidrografi Nasional pula menjangkakan paras air pasang tertinggi akan berlaku di Selangor pada ketinggian 5.4 meter, yang dijangka berlaku pada 26 Oktober, serta 7 dan 8 November ini.

Kenyataan itu turut menyatakan ekoran jangkaan hujan yang tinggi, unit berkenaan menjangkakan akan berlaku banjir dan banjir kilat di negeri ini terutama ketika berlaku air pasang besar.

Justeru, ia menasihati penduduk di kawasan yang sudah dikenal pasti berisiko berlaku banjir dan banjir kilat untuk mengambil langkah persediaan dan mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, Kerajaan Selangor juga sudah mengarahkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, pihak berkuasa keselamatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir dan bencana alam lain.

Antara kawasan dijangka berisiko dilanda banjir dan banjir kilat adalah di daerah Petaling iaitu di Kampung Budiman, Kampung Baru Sungai Buloh, laluan 54 Jalan Kuala Selangor, Persiaran Surian, Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Tengah A, Kampung Kuala Sungai Baru, IOI Punchong, Pejabat Veterinar Daerah Petaling, laluan motosikal Lebuh Raya Persekutuan, Kampung Kubu Gajah, Kampung Bersatu Batu 13, Kampung Melayu Subang, TTDI Jaya U2, Kampung Aman Bestari, Taman Mesra Batu 3, Lebuh Raya BESRAYA, Kampung Bukit Lanchong dan KTM Batu 3.

Di Hulu Langat, kawasan dijangka terbabit ialah Apartmen Taman Saga, Kampung Sungai Sikamat, Kampung Batu 10 Cheras, Kampung dan kawasan Rehat dan Rawat Bukit Dukong, Kampung Sentosa Semenyih, Kampung Sungai Jernih, Kampung Sungai Tuntung, Jalan Reko, Sesapan Batu Rembau, Kampung Rinching Ulu, Taman Lestari Mewah, Kampung Sungai Kembung, Kampung Batu 5 Semenyih, Kampung Batu 12 Sungai Serai, Kampung Batu 16 dan Kampung Batu 20.

Kawasan berisiko di daerah Sabak Bernam membabitkan Kampung Sungai Air Tawar, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sungai Tegar, Kampung Nelayan, Kampung Sungai Nipah, Parit 5 Gambut, Politeknik Sabak Bernam, Taman Sekinchan Jaya, Taman Perdana, Taman Nirwana, Taman Purnama 2, Jalan Parit Cabang, Tali Air 6 hingga 9, Pekan Sekinchan, Kampung Sungai Leman, Ban Tebuk Mendeling, Pantai Bagan Sungai Besar, Pantai Sungai Lang, Batu 23 Sungai Nibong, Peket 60, Peket 100, Kampung Simpang 5, Parit 13 dan Kampung Batu 4 Sepintas.

Di Gombak antara kawasan dijangka berisiko di Kampung Sungai Tua, Jalan B27 Jusco Rawang, Kampung Bahgia, Taman Rahmat Jaya, Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung melayu Sungai Buluh, Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Kelang, Jalan Maxwell, Batu 19 Kuang, Kampung Pasir, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MMR2), Zoo Negara dan Persimpangan Bukit Botak.

Sembilan kawasan di Klang dijangka berisiko banjir dan banjir kilat iaitu kawasan bekas Plaza Tol Sungai Rasau, Kampung Air Kuning, Kampung Telok Gong, Kampung Perigi Nenas di Pulau Indah, Bandar Puteri, Taman Sri Muda, Kampung Jalan Kebun, Persiaran Hamzah Alang dan Kampung Delek.

Di Sepang kawasan terbabit ialah Kampung Sungai Merab Tengah, Pinggiran Cyberjaya, Kampung Tok Merong, Kampung Ghincing, Kampung Chinchang, Kampung Bukit Bangkong dan Kampung Sungai Merab Jaya manakala di Kuala Langat kawasan terbabit ialah Kampung Permatang Pasir, Kampung Medan, Taman Perwira, Jalan Perepat Telok Panglima Garang dan Kampung Lombong.

Beberapa kawasan di Kuala Selangor juga berisiko iaitu di Pekan Ijok, dan Kampung Setia Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 7:47 PM