RUMAH penduduk di Kampung Haji Abas Mukim Bongor dinaiki air apabila Sungai Ketil melimpah. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin

SERAMAI 158 orang membabitkan 63 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Mukim Siong, Baling, malam tadi berikutan sungai Ketil melimpah akibat hujan lebat.

Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Batu Lapan, Batu 60, Bukit Sebelah, Kuala Kedua, Banggol Derum, Lahar, Batu 48, Bawah Gunung, Haji Abas dan Tanjung Merbau.

Hujan lebat berterusan sejak 6 petang semalam menyebabkan sungai mula melimpah pada paras satu meter selepas hujan lebat, enam jam sebelum itu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin berkata, banjir kali adalah yang keempat dalam tempoh dua minggu melanda daerah ini.

"Semua mangsa dipindahkan ke tempat yang selamat bagi memastikan mereka terjaga dengan baik dalam soal tempat tinggal, makan dan kesihatan.

"Ini banjir paling buruk yang berlaku dan kita akan pastikan semua mangsa dijaga," katanya yang ditemui NSTP hari ini.

Isnin lalu, NSTP melaporkan banjir di kawasan Baling yang sejak tiga hari dilaporkan semakin pulih dengan empat PPS di daerah itu dijangka ditutup.

Banjir di Kedah mula melanda sejak minggu lalu, di empat daerah membabitkan Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang dan Baling sendiri yang menempatkan lebih 600 mangsa di 12 PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 9:19 AM