Rafizi (tengah) didesak mengemukakan bukti jika ada amalan politik wang oleh lawannya dalam pemilihan PKR. FOTO Faiz Anuar
Fahmy Azril Rosli
cnews@nstp.com.my

CALON Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mahu Rafizi Ramli mengemukakan bukti kononnya berlaku politik wang dalam pemilihan PKR.

Ketua Wanita PKR itu mengakui tidak tahu apabila diajukan bahawa wujud politik wang dalam pemilihan parti.

Katanya, dakwaan itu tidak berasas sekiranya tiada bukti dikemukakan.

“Tanyalah Rafizi, bukan saya yang cakap. Lagipun, mana saya tahu dia cakap macam itu sebab dia yang cakap... dia cakap, cuba anda tanya dekat dia.

“Saya pun tak tahu. Orang cakap dengan saya mengadu dekat saya. Tetapi, saya cakap kalau tiada bukti apa nak cakap.

“Tiada asaslah. Tiada asas apabila bercakap tetapi tiada bukti sama ada di pihak mana sekalipun. Saya pun tak mahu cakap saya dengar atau tak dengar, tetapi siapa siapa yang nak cakap itu perlu ada bukti, senang cerita,” kata Ahli Parlimen Ampang itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Rafizi yang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti kali ini, mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

Beliau yang merujuk pihak bertanggungjawab sebagai ‘sebelah sana’ mendakwa, suasana politik wang itu tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

Dakwanya, terdapat cabang yang menerima sogokan dalam bentuk sumbangan sebanyak RM100,000 dan RM200,000 untuk berdepan saudara-saudara dalam saingan di peringkat cabang.

Rafizi mendakwa, ahli PKR yang mudah terpengaruh adalah golongan muda yang tidak melalui zaman sukar parti itu dan pihak yang menggunakan wang juga biasanya ‘orang muda’ yang datang dengan poket penuh dan tebal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 8:13 PM