Caption<ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Pedas-Kundur-Linggi berhampiran Taman Pedas Indah, Rembau, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


LELAKI parah manakala sembilan lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Pedas-Kundur-Linggi berhampiran Taman Pedas Indah, Rembau, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu menyebabkan pemandu lori, Mohad Taufix Maulud, 50, cedera parah di badan dan kaki lalu dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kemalangan itu membabitkan lori, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dan Proton Waja.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Toyota Avanza dipandu lelaki, 20, bersama lima penumpang dari arah simpang Taman Pedas Indah membelok ke kanan untuk ke Jalan Pedas-Kundur-Linggi.

“Pada masa sama, lori dari arah Jalan Pedas tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan Toyota Avanza terbabit.

“Kemalangan itu mengakibatkan lori berpusing sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung pula dengan Proton Waja,” katanya ketika dihubungi.

Berikutan itu, pemandu lori terbabit tersepit dan pasukan bomba dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa.

Bagaimanapun katanya, pemandu dan lima penumpang Toyota Avanza serta pemandu dan seorang penumpang Proton Waja hanya cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau Mohd Fuad Majid berkata, seramai tujuh pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan jam 8.11 pagi.

Katanya, operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 4:52 PM