FOTO hiasan
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


SIKAP tidak ambil peduli terhadap isu semasa termasuk sindiket penipuan menyebabkan seorang wanita kerugian lebih RM1.2 juta akibat ditipu sindiket Macau Scam.

Malah, mangsa, 50, yang bekerja di sebuah syarikat pelaburan di ibu negara ‘menyimpan rahsia’ dititu selama 10 hari sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kejadian berlaku pada 5 Oktober lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai Mahkamah Kuala Terengganu.

Katanya, dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan namanya digunakan untuk membuat satu pinjaman peribadi.

“Mangsa menafikan ada membuat pinjaman peribadi dan panggilan kemudian disambungkan kepada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai Suhana iaitu pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

“Wanita menyamar pegawai polis itu kemudian memaklumkan hasil semakan nama dan nombor kad pengenalan mendapati mangsa terbabit dalam penggubahan wang haram berjumlah RM1.48 juta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


ASISTEN Komisioner Mohammad Azlin Sadari. FOTO Arkib NSTP

Mohammad Azlin berkata, mangsa diminta mengambil cuti untuk mencari semua dokumen kewangan bagi membolehkan pegawai Jabatan Audit Negara membuat temu duga menerusi panggilan telefon.

Katanya, mangsa yang panik dan takut kemudian mengikut arahan diberikan sindiket itu termasuk membuat pindahan wang dalam jumlah yang besar ke empat akaun perbankan berbeza yang diberikan.

“Mangsa kemudian membuat pindahan wang tunai menerusi kaunter yang keseluruhannya membabitkan wang berjumlah RM1.21 juta sejak 5 Oktober hingga 10 Oktober lalu.

“Mangsa hanya sedar ditipu selepas bercerita kepada suaminya yang menghubunginya sebelum membuat laporan polis, semalam,” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa tidak pernah mengetahui mengenai sindiket penipuan Macau Scam menyebabkannya mudah diperdaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 2:46 PM