IBU Mohd Yasin, Remelah menjaganya di Kampung Gelong Gajah, dekat Machang. FOTO Ihsan KELSS
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my

Kota Bharu: Kekerapan sakit kepala dalam tempoh dua tahun memberi petanda seorang bekas pemandu lori menghidap penyakit barah otak tahap empat.

Penyakit itu dikesan selepas Mohd Yasin Mat Said @ Muhammad, 39, yang tinggal di Kampung Gelong Gajah, Machang tidak dapat menahan sakit sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Krai, Februari lalu dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Kakak sulungnya, Hasmirah, 47, berkata adik ketiganya itu masih bujang kini terlantar dan tidak boleh bercakap selepas menjalani tiga pembedahan di kepala termasuk membuang air.

Katanya, sebelum ini adik ketiganya normal dan kerap mengalami sakit kepala dalam tempoh dua tahun.

“Adik saya ingat sakit kepala itu biasa dan hanya mengambil ubat yang dibeli di kedai untuk menahan sakit tanpa pergi mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

“Namun, keadaannya menjadi semakin teruk Februari lalu sebelum menjalani pemeriksaan mesin pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di HUSM dan disahkan menghidap barah otak tahap empat.

“Susulan itu adik menjalani tiga kali pembedahan di kepala antara Julai hingga September lalu termasuk terakhir bagi membuang air sebelum dimasukkan wayar dari kepala disalurkan ke perut serta menjalani 20 kali rawatan kemoterapi,” katanya di sini, semalam.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Bank Islam 03045022016391 atas nama Remelah Mat San.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 11:11 AM