PONDOK yang menjadi port dua lelaki melepaskan ketagihan dadah di tebing Sungai Sembilang, Seberang Jaya yang diserbu polis, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@nstp.com.my


SEBUAH pondok di tebing Sungai Sembilang di Seberang Jaya yang dijadikan ‘port lentok’ oleh dua lelaki sejak beberapa bulan lalu diserbu polis dalam satu operasi, Sabtu lalu.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, sepasukan anggota diketuai Ketua Balai Polis Seberang Jaya Inspektor Fazil Mohd Naim menahan kedua-dua lelaki berusia 43 dan 53 tahun berkenaan yang berada dalam keadaan khayal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya yang memeriksa lokasi itu menemui satu bekas warna merah di dalamnya berisi dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 11.21 gram (gm).

“Selain itu polis juga menjumpai satu plastik lutsinar di dalamnya berisi daun kering disyaki dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 1.05 gm.

“Pemeriksaan lanjut juga menemui peralatan yang diubah suai untuk menghisap dadah,” katanya.

Menurutnya, ketika siasatan dilakukan ke atas suspek, polis tidak menemui barangan salah pada mereka, namun melalui saringan ujian air kencing mendapati suspek positif ganja.

Katanya, kedua-dua mereka direman bagi siasatan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 5:31 PM