JIRAN membantu mengangkat barang di rumah Siti Esah Yaakob, 63, yang dimasuki banjir di Kampung Lalang, Baling. FOTO Safuri Kamarudin
Suzalina Halid
suzalina@nstp.com.my


BANJIR di kawasan Baling yang melanda sejak kelmarin, dilaporkan semakin pulih dengan empat pusat perpindahan sementara (PPS) di daerah itu dijangka ditutup hari ini.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Left (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, sehingga 9 pagi tadi, 116 mangsa membabitkan 41 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS, manakala semua mangsa di PPS Surau Kampung Lahar sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Katanya, tiga PPS yang masih dibuka ialah di Dewan Orang Ramai Batu 48 yang menempatkan 22 mangsa, Dewan Komuniti Kampung Banggol Derom (23) dan Dewan Belia Kompleks Sukan (71).

"Kita dapati banjir semakin surut dan ada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS mengambil peluang pulang ke rumah untuk melakukan kerja pembersihan sebelum kembali ke pusat perpindahan.

"Jika keadaan cuaca kekal baik hari ini, kita menjangkakan semua empat PPS akan diisytihar ditutup petang ini dan semua mangsa boleh pulang ke rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi hari ini.

Banjir di Kedah mula melanda sejak minggu lalu, di empat daerah membabitkan Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang dan Baling sendiri yang menempatkan lebih 600 mangsa di 12 PPS.

Jumaat lalu, keadaan banjir dilaporkan semakin pulih apabila hanya sebuah PPS masih dibuka iaitu di Pendang yang menempatkan seramai 38 mangsa.

Bagaimanapun, sejak kelmarin banjir mula melanda semula susulan hujan lebat dengan tiga PPS di Baling yang sudah ditutup sebelum ini dibuka semula untuk menempatkan mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 10:59 AM