ANTARA wanita yang ditahan. FOTO ihsan Imigresen
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


DISYARATKAN membeli kalungan bunga dengan harga sekitar RM50 hingga RM500 sebelum disajikan persembahan lucah dan layanan ghairah atas pentas oleh pelayan pelanggan (GRO) warga asing.

Itu 'sajian' pusat hiburan di Cheras yang dikesan menawarkan khidmat GRO warga China sejak beberapa bulan lalu bagi menarik pelanggan untuk berhibur.

Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral itu berjaya dihidu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang membuat serbuan di premis berkenaan, kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, serbuan pada 1.15 pagi membabitkan 16 pegawai Unit Operasi Khas, Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa JIM, itu berjaya menahan 21 wanita serta dua lelaki warga China yang bekerja di pusat hiburan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, ketika serbuan dijalankan, kesemua pegawai terbabit terlebih dahulu terpaksa bergelut dengan pelanggan, pekerja serta GRO di pusat hiburan itu yang cuba melarikan diri dengan merempuh serta membuat provokasi.

"Tindakan mereka sudah dijangka dan kerana itu, ketika serbuan dijalankan, JIM sudah mengepung premis untuk mengelak mereka melarikan diri.

"Dalam serbuan itu, 49 individu diperiksa dan 23 warga China membabitkan 21 wanita yang bekerja sebagai GRO, penari dan penyanyi serta dua lelaki yang bekerja di pusat hiburan itu berjaya ditahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mustafar berkata, hasil siasatan mendapati pusat hiburan itu 'menyajikan' kegiatan tarian lucah yang dimulai dengan acara 'catwalk' di atas pentas terlebih dulu.

Katanya, pelanggan yang ingin melihat tarian ghairah serta lucah perlu membeli kalungan bunga dengan harga bermula RM50 hingga RM500 sebelum memakaikannya pada GRO yang disukai.

"Menerusi soal siasat dijalankan, kebanyakan GRO berkenaan memperoleh pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 semalam menerusi kegiatan tidak bermoral ditawarkan.

"Kesemua mereka didapati melanggar undang-undang negara seperti menyalahguna Pas Lawatan Sosial selain masuk ke negara ini menggunakan Pas Pelajar dan Pas Ikhtisas," katanya.

Menurut Mustafar, 19 Borang 29 (Saman Saksi) dikeluarkan kepada pekerja, pengawal peribadi serta pelanggan yang berada dalam pusat hiburan itu ketika serbuan dijalankan bagi membantu siasatan.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan melanggar Akta Imigresen itu kini ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk tindakan susulan.

"Malah, dalam serbuan itu juga, JIM turut menjalankan siasatan mengikutAkta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 9:29 AM