(DARI kiri) Ameng bersama Datuk Hattan (kanan) dan anggota kumpulan Iklim, Umarul Mahdzar Embong sewaktu menziarahi jenazah Allahyarham Saleem Iklim di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, hari ini. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


“SEMINGGU sebelum meninggal dunia, tangan dan mulut arwah tidak henti berzikir kepada Allah SWT,” kongsi penyanyi Ameng Spring mengenai Allahyarham Saleem yang disahkan meninggal dunia, hari ini.

Ameng, 49, atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail berkata, kali terakhir berjumpa arwah, mereka masih sempat berborak dan menitipkan beberapa nasihat buat arwah.

“Ketika kali terakhir berjumpa arwah minggu lalu, dia dalam keadaan ok. Cuma, saya perasan dia memberi satu pandangan sayu. Saya pun duduk dekat dengannya dan kami berbual.

“Saya suruh dia bersyukur banyak-banyak sebab Allah masih beri peluang untuknya terus hidup. Saya juga minta dia perbetulkan mana yang silap. Alhamdulillah, dia boleh terima. Pada masa sama, mulut dan tangannya sentiasa berzikir.

“Saya cakap pada diri, Allah akan panjangkan usia arwah. Namun, tidak menjangka itu pertemuan terakhir kami. Allah lebih sayangkannya,” katanya kepada Harian Metro.

Ameng yang juga bekas vokalis kumpulan Spring berkata, arwah juga banyak mengikuti program keagamaan sebelum terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Sebulan sebelum kemalangan, arwah ada buat tazkirah bersama ustaz selebriti lain di sebuah masjid. Saya anggap itu satu kemajuan yang baik dalam dirinya.

“Malah, sejak tiga tahun kebelakangan ini arwah juga banyak berubah sikap. Namun, sepanjang mengenali arwah dia seorang yang baik.

“Siapa yang rapat dengan arwah saja tahu dia macam mana. Apa pun, semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 6:58 PM