KEADAAN rumah kucing Md Zabata Ibrahim selepas ditimpa pokok. FOTO Ihsan Md Zabata
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


“SAYA cuma dengar bunyi atap zink terangkat sebab ketika itu angin sangat kuat sebelum menyedari pokok mempelam menghempap rumah kecil yang menempatkan 22 ekor kucing peliharaan saya, ” kata Md Zabata Ibrahim, 47.

Dalam kejadian 4.30 petang semalam, empat dari lima rumah di Kampung Meribut, Mukim Pering rosak dilanda ribut manakala rumah kecil milik Md Zabata yang dibina untuk menempatkan kucing peliharaannya pula ranap.

Katanya, ketika berada di dalam rumah dia mendengar angin kencang sebelum tidak sampai lima minit kemudian, zink jiran bersebelahan rumahnya diterbangkan angin.

Menurutnya, rumah kecil itu baharu dibina dengan kos RM8,000 untuk menempatkan semua kucing peliharaannya tetapi rosak akibat dihempap pokok sebesar dua pemeluk itu.


KEADAAN rumah kucing Md Zabata Ibrahim selepas ditimpa pokok. FOTO Ihsan Md Zabata

“Sebaik saya menyedari rumah kucing itu ranap, saya pergi untuk melihat keadaan haiwan peliharaan saya itu dan mendapati ada yang tersepit, namun semuanya selamat.

“Cuma seekor saja yang belum ditemui setakat ini, namun saya bersyukur rumah saya tidak rosak malah ketika kejadian, saya dan isteri, Faridah Sidek, 44, serta anak lelaki berusia 10 tahun berada di bahagian dapur,” katanya di Kodiang, hari ini.

Md Zabata yang bertugas di Jabatan Penerangan, Jalan Kuala Kedah di Alor Setar berkata, ketika kejadian dua lagi anaknya tidak ada di rumah, namun mereka tiga beranak selamat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian ribut yang membabitkan tujuh rumah di tiga kampung iaitu Kampung Meribut, Mukim Pering, Kampung Kodiang Lama dan Kampung Kepelu di Kodiang.

Beliau berkata, kejadian ribut berlaku di kawasan itu kira-kira 4 petang menyebabkan banyak pokok tumbang di kawasan berkenaan dan tujuh rumah dilaporkan terkena kesan akibat kejadian itu.

“Hari ini anggota kami akan menjalankan tugas membersihkan kawasan yang dilanda ribut termasuk memotong dahan pokok yang tumbang untuk pembersihan.

“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 9:45 AM