KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit kemalangan dengan Honda City di Kilometer 42 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat susur Bukit Tinggi, Bentong, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


BERPANTANG maut sebelum ajal. Penunggang motosikal yang melambung selepas terlanggar kereta Honda City yang melintang di Kilometer 42 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat susur Bukit Tinggi, Bentong, hari ini, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Video kemalangan pada 11.15 pagi yang menunjukkan lelaki berkenaan sedang menunggang motosikal dan tidak sempat mengelak kereta yang tiba-tiba melintang di lorong kanan menyebabkan dia tercampak ke bahu jalan, tular di media sosial, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian itu menyebabkan pemandu kereta Honda City mengalami luka dan lebam pada bahagian badan.

“Pemandu Honda City dalam perjalanan dari Gombak menuju ke Kemaman dan berada di lorong kanan. Sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta di belakang yang tidak dikenal pasti menyalakan lampu tinggi meminta kereta Honda City memberi laluan.

“Pemandu Honda City memberikan isyarat untuk ke lorong kiri, namun secara tiba-tiba kereta Mazda CX-5 keluar dari susur menyebabkan pemandu Honda City tidak sempat mengelak dan melanggar Mazda CX-5,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, kereta Honda City berpusing dan terbabas ke lorong kanan sebelum melanggar tembok pembahagi jalan.

“Sebuah motosikal Yamaha MT07 dari arah belakang melanggar Honda City pada bahagian pintu hadapan sebelah kanan menyebabkan penunggangnya terjatuh ke bahu jalan.

“Selain pemandu Honda City yang mengalami luka dan lebam, penunggang motosikal dan pemandu Mazda CX-5 tidak cedera.

“Kereta Honda City itu rosak di bahagian enjin, bonet dan but, cermin depan, cermin belakang serta pintu depan sebelah kanan manakala motosikal rosak bahagian hadapan, radiator pecah dan lampu pecah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 8:40 PM