DUA lelaki termasuk seorang warga Singapura maut apabila Proton Saga BLM dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Kilometer 6.6 Lebuhraya Iskandar Sultan, Iskandar Puteri, Johor Bahru, hari ini. FOTO ihsan polis.
Ibrahim Isa
Ibrahim@nstp.com.my


DUA lelaki termasuk seorang warga negara Singapura maut apabila Proton Saga BLM dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Kilometer 6.6 Lebuhraya Iskandar Sultan, Iskandar Puteri, Johor Bahru, 7.34 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa, Muhammed Razin Basit, 27, dan warga Singapura, Anbalagan Anand Babo Tiyagerajen, 31, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Hasil siasatan, kereta dipandu Muhamed Razin dari Gelang Patah ke Taman Perling dan apabila tiba di tempat kejadian, kereta dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan sebelah kiri.

“Akibat rempuhan kuat itu, kedua-dua mangsa tercampak beberapa meter dan parah di kepala serta badan.

“Pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai untuk bedah siasat.

Menurutnya, kereta mangsa rosak teruk akibat kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 8:11 PM