Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@nstp.com.my


POLIS sudah menahan suspek yang juga teman lelaki kepada wanita yang menyembunyikan kematian bayi yang dilahirkannya semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, lelaki berusia 23 tahun berkenaan menyerah diri di Balai Polis Bukit Mertajam, hari ini selepas diburu sejak semalam.

Beliau berkata, semalam polis menahan wanita berusia 22 tahun selepas bertindak mengebumikan bayinya yang didakwa mati ketika dilahirkan di rumah di Bagan Dalam.

Menurutnya, suspek sebelum itu dipercayai bersalin di rumah di Kubang Semang sebelum mendakwa bayinya meninggal dunia sejurus dilahirkan.

Beliau berkata, suspek kemudian membawa mayat bayi malang itu ke rumah ibunya di Bagan Dalam sebelum dikebumikan di situ.

“Sejurus selepas itu, dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan doktor yang merawatnya menghubungi polis memaklumkan bahawa pesakitnya yang juga suspek menyembunyikan kelahiran,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, hasil daripada keterangan yang diperoleh daripada suspek, polis menggerakkan usaha memburu teman lelakinya yang kemudian menyerah diri hari ini.

Katanya, hasil siasatan, suspek melahirkan anak lelaki cukup sifat dan mengalami tumpah darah yang banyak ketika berada di rumah teman lelaki di Mukim 6 Kampung Pertama, Permatang Pauh.

Menurutnya, bayi terbabit meninggal dunia lalu suspek dan teman lelakinya membalut bayi itu dengan kain pelekat.

“Suspek dan teman lelakinya menaiki motosikal ke tanah perkuburan Bagan Dalam malam kelmarin untuk menanam bayi berkenaan dengan teman lelakinya masuk ke tanah perkuburan seorang diri manakala suspek tunggu di motosikal.

“Sejurus selepas itu, teman lelaki suspek membawanya ke hospital untuk pemeriksaan sebelum doktor yang merawatnya mengesyaki suspek menyembunyikan kelahiran bayinya,” katanya di sini, tadi.

Nik Ros Azhan berkata, polis kini sedang berusaha mengesan lokasi bayi itu ditanam dengan bantuan teman lelaki suspek.

Katanya, polis masih menunggu laporan daripada pihak forensik yang sedang melakukan siasatan di lokasi mayat bayi itu ditanam dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

'Kebumi bayi di rumah mak'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 3:39 PM