GAMBAR hiasan
Fazrik Kamarudin
cnews@nstp.com.my


LELAKI ditahan selepas disyaki meragut beg penunggang motosikal di Jalan Sungai Lalang, Semenyih, Kuala Lumpur, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi, suspek berusia 40 tahun itu ditahan ketika cuba melarikan diri dengan motosikal.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, suspek disyaki peragut yang aktif melakukan jenayah itu sejak awal tahun ini.

“Suspek dikatakan meragut beg yang diletakkan di dalam raga motosikal milik mangsa berusia 25 tahun.

“Bagaimanapun, ketika suspek cuba untuk melarikan diri, dia terlanggar kereta yang datang dari arah bertentangan, kira-kira 50 meter dari mangsa.

“Suspek kemudian ditahan dengan bantuan orang ramai yang berada di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

“Antara rekod jenayah suspek, terbabit dalam satu kes samun dan tiga kes dadah, ujian air kencingnya juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Dan untuk tahun ini, kita percaya suspek terbabit dalam 12 kes ragut sekitar Semenyih dan Jalan Sungai Lalang.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan ragut dan samun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda dan boleh dikenakan sebatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 9:39 AM