ANTARA individu yang ditahan. FOTO Ihsan AADK
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my

TIDAK tahan menahan gian, seorang penagih berusia 38 tahun membuang air besar dalam seluar selepas ditahan anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Manjung, hari ini.

Kejadian berlaku di pejabat AADK Manjung menyebabkan premis itu berbau busuk.

Meskipun sudah sudah membersihkan diri, bau busuk najis terkena pakaiannya membuatkan penguat kuasa terpaksa menahan bau selama tiga jam ketika lelaki itu dalam kenderaan untuk dibawa ke Pusat Tahanan Reman AADK, Batu Kurau.

Seorang lagi individu yang turut ditahan dan berada di dalam kenderaan sama, turut termuntah.

Ketua Pegawai AADK Manjung, Sharuddin Abdul Salam berkata, lelaki itu antara 42 individu ditahan dalam operasi khas diketuai Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK negeri, Azman Hashim.

Beliau berkata, mereka yang terdiri daripada lima wanita dan 37 lelaki berusia 17 hingga 65 tahun ditahan dalam operasi bermula jam 5 pagi semalam sehingga 2 pagi tadi.

‘Lelaki terbabit yang juga penganggur itu ditahan di ruang tamu rumahnya di Jalan Panchor, Pantai Remis di Manjung.

“Selepas ditahan, lelaki itu baru lepas mengambil dadah dan mengaku masih gian sehingga menyebabkan dia membuang air besar dalam seluar ketika berada di pejabat AADK Manjung,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Menurutnya, lelaki itu adalah penagih tegar dan ini kali ketiga dia ditahan AADK.

“Malah, sebelum ini pernah berada di bawah pengawasan kami dan ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif morfin,” katanya.

Mengulas berhubung operasi berkenaan, beliau berkata,

operasi dijalankan di tujuh lokasi di sekitar Manjung.

“Ia membabitkan Sitiawan, Lekir, Lumut, Ayer Tawar, Beruas, Pantai Remis dan Seri Manjung yang menyasarkan rumah berpenghuni serta rumah kosong yang dijadikan ‘port’ menagih,” katanya.

Katanya, dalam serbuan itu, dua anggotanya cedera ringan di muka dan tangan selepas masing-masing terlanggar besi dan terjatuh ketika mengejar suspek di lokasi.

“Turut ditahan, dua remaja lelaki berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah selain seorang bapa berusia 65 tahun dan anak lelakinya yang ‘sekepala’.

“Turut dirampas, beberapa peralatan yang digunakan untuk menghisap dadah dan semua individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 1:35 PM