KETULAN mampat daun kering yang dirampas daripada dua lelaki pada Ahad lalu. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


DUA lelaki ditahan berikutan penemuan dadah jenis ganja seberat lebih 1.7 kilogram yang disembunyikan di sebuah rumah di Seksyen 10, Wangsa Maju, Ahad lalu.

Kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju selepas dilihat mencurigakan jam 3.30 petang.

Pemeriksaan ke atas mereka menemui satu ketulan mampat daun kering dipercayai ganja dianggarkan seberat 140.7 gram disimpan dalam sampul surat.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, pihaknya kemudian dibawa ke sebuah rumah untuk melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui satu bekas plastik mengandungi tiga ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 1,600 gram.

“Bekas plastik berwarna putih itu diletakkan di bahagian dapur bersebelahan pintu belakang rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, dadah yang dirampas dalam serbuan berkenaan berjumlah RM2,800.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis tetra hydrocannabinol (THC).

“Salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 9:40 PM