Lembaga Zakat Selangor, Seksyen 13 Shah Alam. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
BERNAMA

PENIAGA dalam talian tidak terkecuali daripada kewajipan mengeluarkan zakat berikutan terdapat transaksi membabitkan wang dalam perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS) Abdul Basith Hamid berkata, zakat yang perlu dijelaskan adalah pada kadar 2.5 peratus untuk pendapatan yang telah cukup haul, iaitu telah berlalu satu tahun ke atas harta yang dimiliki.

“Perniagaan online ini masih tertakluk kepada pengeluaran zakat kerana ada transaksi membabitkan wang dan tetap ada untung rugi. Apabila lengkap transaksi dan cukup haulnya setahun, peniaga kena buat kiraan.

“Jika pendapatan positif, mereka kena juga keluarkan zakat 2.5 peratus mengikut kaedah pengiraan had kifayah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Muzakarah Zakat Kebangsaan 2018 di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir pada program anjuran bersama LZS dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu adalah Timbalan Pengerusi LZS Profesor Datuk Dr Aizuddin Ahmad dan Timbalan Naib Canselor UiTM Profesor Dr Zaini Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 6:28 PM