MAS Imran (tiga dari kiri) bersama sukarelawan dan mangsa gempa bumi di Mataram, Lombok.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my

Mataram: Misi kemanusiaan Pasar raya Econsave ke Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, Jumaat hingga Ahad lalu, membawa sinar baru kepada puluhan ribu mangsa gempa bumi apabila mereka disediakan kediaman separa kekal lebih baik bagi menggantikan kediaman yang musnah dalam bencana melanda pulau itu, Ogos lalu.

Projek amal dinamakan ‘Rumah Senyum’ menyaksikan 20 rumah didirikan di dua perkampungan iaitu 12 rumah di Kampung Pengembok, Lombok Utara dan lapan di Kampung Sukadatu di Lombok Timur.

Setiap rumah dikongsi satu atau dua keluarga mangsa gempa bumi berbanding sebelum ini kebanyakan mereka menjalani kehidupan kurang selesa apabila lapan sehingga sembilan keluarga berkongsi satu khemah.

Pengurus Besar Pasar Raya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, setiap Rumah Senyum dibina dengan kos RM1,000 dan dilaksanakan secara gotong-royong oleh sukarelawan.

Katanya, rumah Senyum memiliki satu bilik dan didirikan menggunakan bingkai kayu serta beratap serta berdinding kanvas.

“Ia mampu bertahan beberapa tahun sementara menunggu mangsa gempa mendirikan semula kediaman,” katanya yang menyertai misi kemanusiaan ke Lombok.

“Selain membina rumah, kami menyampaikan bantuan makanan ringan kepada kanak-kanak, barang keperluan dapur dan bungkusan pek sanitari untuk wanita.

“Econsave juga menyumbang RM1,000 bagi pembinaan semula masjid yang dirobohkan kerana tidak selamat lagi digunakan di Kampung Sembalun di kaki Gunung Rinjani, selain menjalankan usaha pembinaan perigi.

“Untuk misi kemanusiaan kali ini, Econsave memberi sumbangan RM50,000 dan masih mengumpul sumbangan orang ramai dengan menyediakan tabung khas di semua pasar raya Econsave seluruh negara.

“Econsave menetapkan matlamat mengumpul RM300,000 untuk diagih kepada mangsa gempa bumi di Lombok.

“Ia menjadi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami dan menerima kerjasama daripada Pertubuhan MyCare dan Kadet Remaja Sekolah (KRS) Musleh.

“Kami bercadang mengadakan satu lagi misi kemanusiaan di Lombok hujung tahun ini selain mengumpul dana membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi, hujung tahun ini,” katanya.

MAS Imran bersama mangsa gempa di hadapan Rumah Senyum.

Seramai 20 sukarelawan tempatan menyertai Misi Kemanusiaan Pasar Raya Econsave berpadu tenaga dengan rakan sukarelawan di Mataram, Lombok, Indonesia bagi membantu mangsa gempa bumi.

Delegasi diketuai Pengerusi MyCare Johor, Dr Mohd Zin Kandar menjalinkan kerjasama dengan Pos Keadilan Peduli Ummat (PKPU), sebuah NGO di Indonesia, turut disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia iaitu Kadet Remaja Sekolah (KRS) Musleh.

Dr Moh Zin berkata, misi kemanusiaan itu bertujuan memberi sokongan moral selain bantuan barangan keperluan dan kewangan bagi meringankan beban mangsa bencana alam itu.

“Begitu sedih melihat kemusnahan di pulau ini dan kita sebagai jiran terdekat perlu menghulurkan bantuan.

“Kami berpeluang meninjau ke lokasi bersama PKPU Human Inisiatif Indonesia serta menghulurkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KRS Musleh, Abd Rahaim Md Isa berkata, pihaknya berusaha membantu mangsa gempa iaitu pelajar dan murid sekolah bagi meneruskan pembelajaran.

“Kami sedang mengumpul dana membina sekolah dan masjid di Lombok demi masa depan mangsa gempa bumi berkenaan,” katanya.

Koordinator PKPU Lombok, Dedi Aris Sandi berkata, pihaknya berterima kasih kepada peserta misi kemanusiaan Econsave dan KRS Musleh dari Malaysia yang tampil membantu mangsa.

Sumbangan kepada mangsa Lombok boleh disalurkan kepada HUMANITARIAN CARE MALAYSIA BERHAD menerusi akaun Maybank Islamic 5642-5856-0698, CIMB Islamic 86-0213559-2 atau Bank Islam 12092010034904.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi kotak khas yang disediakan di semua pasar raya Econsave di seluruh negara.

PENYEDIAAN air bersih beri kelegaan kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 11:11 AM