ANGGOTA bomba melakukan pemantauan di Pekan Bandar Baru Sungkai yang dinaiki air, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Rosman Shamsudin
cnews@nstp.com.my


PEKAN Bandar Baru Sungkai dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berpanjangan, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.15 petang, keadaan hujan lebat itu turut mengakibatkan tebing lombong berhampiran Sekolah Agama Abbasiah runtuh hingga mengakibatkan air melimpah ke sekolah berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bidor Shahrin Musa berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian banjir kilat di jalan utama pekan itu apabila dinaiki air setinggi hampir satu meter jam 5.29 petang.

“Terdapat dua kes dilaporkan iaitu satu membabitkan banjir kilat di jalan utama Pekan Bandar Baru Sungkai yang turut mengakibatkan sebuah kereta terperangkap dalam banjir itu, namun tiada mangsa.

“Satu lagi insiden membabitkan tebing lombong berhampiran Sekolah Agama Abbasiyah yang runtuh hingga mengakibatkan air melimpah dan memasuki kawasan sekolah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dan kesemua pelajar di sekolah berkenaan dipindahkan ke tempat yang selamat.

Katanya, operasi pemantauan masih dijalankan di kedua-dua lokasi sebagai langkah berjaga-jaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 9:31 PM