Mohamad Amran maut selepas lori syarikat dinaikinya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebuah lori dan kereta. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


PEKERJA syarikat konsesi pembersihan Environment Idaman (E-idaman) maut selepas lori syarikat terbabit yang dinaikinya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebuah lori lain dan kereta di hadapan Warung Gulai Temenung Meja Bulat, Jalan Kuala Kedah, di Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, mangsa, Mohamad Amran Mohd Salleh, 40, yang duduk di tempat duduk penumpang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas parah di muka, tangan dan perut.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, dalam kemalangan itu pemandu lori E-idaman Mohd Faiz Daut, 34, luka di dahi dan sakit di dada dan seorang lagi pekerja syarikat terbabit Mohd Anuar Abdullah, 46, cedera di hidung.

Menurutnya, manakala pemandu lori dan pemandu kereta Perodua Myvi yang dirempuh lori syarikat terbabit tidak cedera kerana ketika kejadian mereka tiada di dalam kenderaan terbabit.

“Siasatan awal mendapati, lori syarikat pembersihan itu datang dari arah lampu isyarat Masjid Aman ke Kuala Kedah sementara sebuah lagi lori diparkir di kiri jalan lorong motosikal manakala kereta itu pula diletakkan di hadapan warung makan itu.

“Bagaimanapun sebaik tiba di tempat kejadian tiba-tiba lori terbabit hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lagi lori dan terbabas ke kiri dan merempuh kereta itu pula,” katanya dalam kenyataan tadi.

Mohd Rozi berkata, akibat kejadian itu penumpang yang duduk di sebelah kiri gagal diselamatkan ketika dalam perjalanan ke HSB dan disahkan meninggal dunia jam 10.40 pagi di Zon Merah HSB.

“Lori syarikat terbabit rosak teruk di bahagian hadapan sebelah kiri sementara lori yang dirempuh rosak di belakang sebelah kanan, bumper hadapan, bonet dan cermin hadapan.

“Manakala kereta itu pula rosak di bumper belakang sebelah kanan, but dan cermin belakang,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

From: Mhafis

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 9:02 PM