SHAMSUL Amar (tengah) menunjukkan barang kes pembongkaran makmal dadah di Telok Gong. FOTO Faiz Anuar
Siraj Mohd Zaini
siraj@nstp.com.my


SINDIKET memproses dadah yang berselindung di dalam kilang membuat tikar getah di Telok Gong, Klang, sejak beberapa bulan lalu akhirnya tumpas selepas diserbu polis, minggu lalu.

Kewujudan makmal syabu haram itu dihidu polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang menyerbu premis berkenaan, 8 pagi, 3 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan dua lelaki warga Bangladesh berusia 31 dan 32 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kilang.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, polis kemudiannya menyerbu pejabat di Cheras, Kuala Lumpur pada hari sama sebelum menahan tiga lagi lelaki berusia 25 hingga 30 tahun iaitu dua beradik warga tempatan yang dipercayai pemilik kilang serta seorang ‘ahli kimia’ warga Iraq.

“Hasil risikan sejak dua bulan lalu berjaya menjejaki makmal haram yang berada di dalam kilang berkenaan.

“Polis merampas sejumlah dadah disyaki syabu atau methamphetamine seberat 412 gram, 2.3 kilogram ‘meth oil’, 20 kilogram ephedrine serta bahan-bahan kimia bagi memproses dadah,” katanya pada sidang media di IPD Klang Selatan, hari ini.

Shamsul Amar berkata, semua rampasan dadah dianggarkan bernilai RM200,000 dan polis turut menyita tiga kenderaan untuk siasatan lanjut.

“Modus operandi sindiket beroperasi di kawasan kilang dan jauh dari penempatan orang ramai bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis akan memohon tambahan reman yang berakhir hari ini untuk siasatan selanjutnya terhadap semua suspek,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Shamsul Amar berkata, pihaknya berjaya membongkar stor dadah di dalam rumah di Taman Sentosa, Klang, pada 4 Oktober lalu.

Beliau berkata, lelaki berusia 29 tahun dipercayai pengedar dadah ditahan dalam serbuan jam 11.30 malam itu.

“Hasil serbuan itu polis berjaya menemui dadah disyaki syabu seberat 83 gram serta 150 biji pil eramin 5 dan semuanya dianggarkan bernilai RM15,000.

“Ujian air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah dan polis turut menyita sebuah kereta untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Shamsul Amar berkata, dadah berkenaan dipercayai untuk diedarkan di sekitar bandar itu dan suspek direman sehingga 11 Oktober ini serta kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 6:35 PM