Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


WANITA bukan hanya ditumbuk dan ditendang, tetapi turut dipijak abangnya di rumah mereka di Rumah Murah Binjai, Jalan Air Putih, Chukai, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku 6.30 petang ketika mangsa berusia 20 tahun berada di dalam biliknya, sebelum pintu bilik itu diketuk kuat oleh abangnya berusia 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, suspek bertindak memarahi mangsa, sebaik pintu dibuka dan dia terus menumbuk dan menendangnya.

Katanya, selain itu, badan mangsa juga dipijak selepas dia jatuh.

“Mangsa mendakwa suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang bermalam di luar tanpa memberitahu ibu bapa mereka.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera di bawah dagu dan bengkak pada muka membuat laporan di Balai Polis Chukai untuk tindakan lanjut kerana bimbang keselamatan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Said berkata, susulan laporan dibuat, polis berjaya menahan suspek di rumahnya pada 2.15 pagi tadi.

Katanya, suspek ditahan direman selama empat hari sehingga Jumaat depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 4:37 PM