PENGARAH Urusan Fig Direct Sdn Bhd, Robin Lim menunjukkan buah tin di Ladang Chuping, Padang Besar. FOTO Azhar Ramli
Muhammad Mustakim Ramli
m.mustakim@nstp.com.my


PEMBANGUNAN projek penanaman pokok tin atau nama saintifiknya Ficus Carica secara komersial mampu melonjak potensi Perlis sebagai pengeluar buah tin terbesar di Asia Tenggara.

Sebanyak 26,000 pokok tin ditanam di kawasan seluas 10 hektar di Ladang Chuping di Padang Besar, sekali gus menjadi pengeluar terbesar buah berkenaan khususnya di rantau ini.

Cuaca panas terik sehingga suhu melebihi 30 darjah celsius di Perlis menjadi faktor pendorong syarikat Figdirect Sdn Bhd mengusahakan tanaman berkenaan kerana cuaca panas membolehkan buah yang kaya dengan khasiat itu tumbuh subur serta berkualiti tinggi.

Pengarah Urusannya, Robin Lim berkata, projek yang dijalankan secara kerjasama dengan kerajaan negeri itu bermula pada November 2016 dan dituai pada April tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan kolaborasi bersama Fakulti Biologi, Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menghasilkan benih pokok tin yang berkualiti selain cara penjagaannya juga tidak disembur dengan racun.

“Pokok tin akan berbuah dalam tempoh tiga bulan dan 86 hari kemudian ia sudah boleh dipetik. Kita sudah menanam sebanyak 26,000 pokok dengan 16,000 daripadanya ditanam di dalam rumah hijau, dan kadar pengeluaran semua pokok ini adalah sebanyak empat tan sebulan.

“Dengan jumlah ini, ia menjadikan ladang pokok tin di Perlis sebagai terbesar di rantau Asia Tenggara,” katanya ketika ditemui di Ladang Chuping, di sini.

Robin berkata, walaupun jumlah pengeluaran buah tin adalah besar, pihaknya tidak merancang untuk mengeksport buah berkenaan kerana tempoh kesegarannya hanyalah lima hari.

“Kita memberi fokus di dalam negara sahaja kerana negara lain juga tidak mengeksport buah berkenaan secara segar sebaliknya mereka mengeringkannya terlebih dahulu sebelum dieskport ke negara lain.

“Selain dijual secara segar, kita juga turut menghasilkan 12 jenis produk hiliran seperti kaspul untuk penyakit kencing manis, pati untuk cergaskan minda, minyak untuk penyakit ekzema, jus dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan orang ramai terutama penduduk Perlis yang berminat untuk menjadi usahawan pokok tin, bertemu dengannya.

“Pokok ini ditanam di Perlis dengan skala yang besar, jadi saya mahu membantu penduduk di sini meraih pendapatan dengan menjadi usahawan.

“Setakat ini pelajar universiti yang kerap datang ke sini untuk belajar dan pada masa yang sama mengambil peluang menjadi usahawan,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan pihak yang berminat untuk memasarkan dan melabel produk yang dihasilkan pihaknya dengan jenama sendiri, boleh menghubunginya untuk berbincang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 4:25 PM