MUHAMMAD Amirulaiman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini atas tuduhan mengugut ibunya menggunakan parang. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana mengugut ibunya menggunakan sebilah parang.

Tertuduh, Muhammad Amirulaiman Abdullah, 25, hanya mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan niat menyebabkan kematian terhadap Norfadlilawati Muhammad Shah, 43, menggunakan sebilah parang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Batin Perdana, Kuala Terengganu pada 2.10 petang 2 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 30 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 3:55 PM