CALON Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mula bergerak masuk ke dalam Dewan Peperiksaan bagi menjawab kertas soalan Bahasa Melayu pada hari pertama PT3 yang bermula 8.10 pagi hingga 10.10 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19 Shah Alam. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Mohd Husni Mohd Noor
cnews@nstp.com.my


LEMBAGA Peperiksaan, Kementerian Pendidikan menafikan berita mengenai kebocoran empat kertas ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup Bersepadu sebagaimana tular di media sosial, baru-baru ini.

Justeru, Lembaga Peperiksaan menerusi kenyataan hari ini menjelaskan berita kebocoran kertas itu tidak benar dan tiada keperluan untuk calon menduduki semula kertas tersebut.

Baru-baru ini, berita tersebar mengenai kebocoran empat kertas berkenaan yang mana calon dikehendaki menduduki semula kertas berkenaan pada tarikh 1 hingga 4 Oktober.

Menurutnya, tidak ada keperluan untuk calon menduduki semula kertas yang dinyatakan kerana PT3 dilaksanakan secara Pentaksiran Pusat.

"Ibu bapa serta penjaga dan murid tidak perlu bimbang berkaitan perkara ini.

"Pihak sekolah telah melaksanakan PT3 berdasarkan garis panduan yang diberikan oleh Lembaga Peperiksaan dengan penyeliaan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 11:37 AM