Wartawan NSTP
cnews@nstp.com.my


MALAYSIA akan terus dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau ketika ini hanya berhasrat memasuki Dewan Rakyat dan menganggap Dr Mahathir sebagai ayah dan pemimpin yang disayangi.

“Dalam keadaan sekarang lebih baik Tun (Dr Mahathir) pimpin negara. Saya ikhlas sebut ini.

“Saya sayang dia sebagai ayah dan pemimpin. Saya akui dia terbaik untuk pimpin Malaysia sekarang,” katanya disertai tepukan gemuruh kira-kira 10,000 rakyat sempena Ceramah Mega Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia di PD Waterfront, Port Dickson, malam ini.

DR Mahathir berjabat tangan dengan Anwar ketika hadir hadir pada Ceramah Mega Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia dalam kempen Pilihan Raya Kecil Port Dickson di PD Waterfront, Port Dickson, malam ini. FOTO Aswadi Alias

Untuk rekod, ceramah malam ini buat pertama kalinya Dr Mahathir dan Anwar pentas pada kempen pilihan raya selepas 20 tahun.

Keadaan itu sekali gus mencipta sejarah kedua-dua tokoh politik veteran itu yang bergandingan sepentas kali terakhir pada 31 Ogos 1998, semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-41, beberapa hari sebelum konflik kedua-dua pemimpin itu tercetus.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, tujuannya bertanding di Port Dickson pada masa ini adalah untuk memasuki Dewan Rakyat.

“Tugas saya adalah untuk bantu ahli-ahli parlimen seperti Lim Guan Eng yang paling senior.

“Tugas kendali, pandu dan kemudikan negara, saya serahkan kepada Tun (Dr Mahathir) dengan kebijaksanan beliau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:15 PM