ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar menyukat paras air di rumah penduduk di Kampung Lapangan Terbang di Kepala Batas berikutan hujan lebat sejak petang hari ini. FOTO ihsan APM.
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


SEBANYAK 19 keluarga membabitkan 57 orang di Kampung Lapangan Terbang di Kepala Batas, Alor Setar dipindahkan ke Surau Assyakirin Kepala Batas yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan banjir kilat melanda kawasan itu, sejak petang hari ini.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Mohd Zain Bahrum berkata, semua mangsa dipindahkan ke PPS itu sejak 6 petang.

Beliau berkata, dua lagi PPS akan dibuka malam ini iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah dan SK Gunung berikutan banyak kediaman penduduk di situ dinaiki air sedalam antara 0.3 meter hingga 0.5 meter.

“Bagaimanapun, kami belum mengetahui jumlah semua mangsa di dua PPS yang baru dibuka itu setakat ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa.

“Air sungai melimpah disebabkan hujan lebat melanda di daerah ini sejak 5 petang menyebabkan banjir kilat berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Md Zain berkata, selain itu aliran air dari Sungai Padang Terap, Kuala Nerang turut menyebabkan air mengalir laju menghala ke laut yang turut mengakibatkan rumah penduduk ditenggelami air.

Beliau berkata, setakat ini anggotanya sedang membuat pemantauan di kawasan dikenal pasti dinaiki air dan bersedia memindahkan mereka ke PPS yang dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 9:50 PM