ANGGOTA bomba cuba mengeluarkan mangsa (gambar kecil) yang tersepit di dalam lori akibat dihempap kontena di Taman Perindustrian Subang Utama, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Siraj Mohd Zaini
siraj@nstp.com.my


PEMANDU maut selepas muatan kontena terbalik sebelum menghempap bahagian hadapan lori berkenaan di perkarangan sebuah kilang di Taman Perindustrian Subang Utama, hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, pemandu lori berkenaan Suady Anuar, 38, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan badan.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika kerja pengalihan kontena seberat sembilan tan itu dari sebuah lori lain kepada lori yang dipandu mangsa.

Bagaimanapun, ketika proses pengalihan dijalankan kontena itu tiba-tiba terjatuh lalu menghempap bahagian kepala lori mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15 Azmel Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.56 tengah hari sebelum sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa dipercayai terperangkap di bahagian ‘kepala lori’ itu akibat dihempap kontena sepanjang kira-kira 12 meter.

“Pihak syarikat terpaksa menggunakan kren untuk membantu mengangkat kontena berkenaan.

“Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam bahagian hadapan lori itu,” katanya.

Azmel berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang turut berada di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat dan kes diserahkan kepada pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 8:15 PM