FOTO Hiasan
Murni Wan Omar
murni@nstp.com.my


TIGA pemandu teksi didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan bermain judi di tempat awam pada Ogos lalu.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Wong Seng Wei, 58, Lee Chan Yo, 43, dan Chong Oi Weng, 47, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit.

Jika gagal membayar denda, ketiga-tiga tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sebulan.

Mereka didakwa bermain judi jenis kad daun terup di kaki lima berhadapan Restoran Hao Wan di Jalan Kuchai Maju 14, Kuchai Lama, Kuala Lumpur jam 11.30 malam, 25 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka dituduh mengikut Seksyen 7(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman penjara maksimum lima bulan penjara atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada semua tertuduh.

Ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 6:13 PM