Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


DOKTOR kerugian RM252,000 selepas menerima panggilan daripada lelaki mendakwa dia terbabit dalam pengubahan wang haram, baru-baru ini.

Wanita berusia 70 tahun bertugas di hospital di Kota Kinabalu difahamkan melakukan dua transaksi ke dua akaun berlainan selepas menerima panggilan pada 1 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu selepas menyedari ditipu, semalam.

“Pengadu telah terima panggilan daripada seorang lelaki mengatakan dia terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Jadi pengadu kemudian memasukkan wang melalui dua transaksi iaitu yang pertama sebanyak RM52,000 dan kedua RM200,000 seperti diminta lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mangsa yang dalam keadaan panik dan bimbang, melakukan transaksi itu kepada dua pemilik akaun berasingan sebelum menyedari ditipu.

“Sehubungan itu, siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Polis juga masih mengenal pasti pemilik akaun yang terbabit,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika menerima panggilan daripada orang tidak dikenali untuk memasukkan wang supaya jangan cepat terpedaya.

“Sekarang banyak panggilan palsu atau scam untuk memasukkan wang melalui penyamaran. Jadi orang ramai jangan mudah terpedaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 5:09 PM