HM Digital

Kuala Lumpur: Wacoal Malaysia meneruskan kerjasama tahun kelima dengan akhbar New Straits Times (NST) dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kanser payudara.

Program kayuhan membabitkan laluan sejauh 25 kilometer (km) menerusi Kempen Wacoal Pink Ribbon Fun Ride 2018 dilancarkan di Balai Berita, di sini semalam, menarik penyertaan kira-kira 800 peserta termasuk lapan pesakit kanser payudara.

Pengarah Eksekutif Wacoal Malaysia, Tsutomu Fujimura berkata, kanser payudara kekal pembunuh nombor satu wanita di negara ini dan dianggarkan satu daripada 19 wanita Malaysia berdepan risiko menghidap penyakit berbahaya itu.

Fujimura berkata, acara berbasikal dari Jalan Riong, Bangsar itu menuju ke pusat bandar dengan melalui Dataran Merdeka, Bukit Bintang dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Wacoal Malaysia komited menyebarkan kesedaran berhubung kanser payudara serta langkah pencegahannya. Kempen ini dianjurkan kali kelima dengan kerjasama NST sejak 2013 dengan permulaan program dilakukan sejak 2003 lagi.

“Meskipun pengesanan awal adalah langkah utama, tetapi dengan rawatan yang teratur, kadar kelangsungan hidup penghidap kanser payudara akan meningkat sebanyak 85 peratus.

“Justeru kempen kesedaran pencegahan dalam kalangan orang ramai sangat penting,” katanya.


DARI kiri, Muzli, Alfian, Fujimura dan Lo melepaskan 800 peserta kayuhan santai sempena Kempen Wacoal Pink Ribbon Fun Ride 2018 di Balai Berita, semalam.

Terdahulu, acara pelepasan itu disempurnakan Fujimura bersama Timbalan Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Wacoal Malaysia, Lo Yean Feein dan Pengarang Eksekutif NST, Muzli Mohamad Zin.

Turut sama, Ketua Pegawai Komersial The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Alfian Abu Talib dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Roche Chew.

Alfian berkata, program seumpama itu wajar diperluaskan ke bandar utama lain seperti di Kelantan, Johor dan Perak dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap kanser payudara terutama di kalangan masyarakat di luar bandar.

Sementara itu, pemilik restoran, Farahan Iza Abdul Rahman, 45, berkata, beliau menjalani pembedahan membuang payudara kanan pada Mei lalu selepas dia dikesan menghidap kanser itu pada tahap dua pada penghujung April lalu.

“Saya baru enam kali sesi kimoterapi dua minggu lalu, Alhamdulillah dengan sokongan keluarga dan rakan, saya menjadi lebih positif kerana ia bukan pengakhiran hidup.

“Paling penting kita sebagai wanita perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali untuk memastikan tiada risiko kanser atau tahu bentuk rawatan kanser yang sesuai untuk pemulihan,” katanya.

Bekas pesakit kanser payudara, Nina Aziz, 44, berkata, beliau melalui dua kali pembuangan ketumbuhan iaitu pada 2016 dan terbarunya pada Jun lalu dengan keseluruhan menjalani kira-kira 12 kali sesi kimoterapi.

“Sebagai pesakit, kita perlu sentiasa positif untuk menjalani rawatan dan sertai kumpulan sokongan kanser untuk mengikuti aktiviti dan kekal kehidupan sihat tanpa dibelenggu kesedihan akibat kanser,” katanya yang mempunyai empat cahaya mata dan tiga cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:32 AM