JAMBATAN di Kampung Kerinting, Gua Musang ditenggelami air berikutan hujan lebat, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
cnews@nstp.com.my


JAMBATAN Kampung Kerinting yang menghubungkan ke bandar lama Gua Musang sekali lagi ditenggelami air, hari ini.

Difahamkan, jambatan itu terpaksa ditutup kepada semua kenderaan jam 5.30 petang berikutan paras Sungai Ketil naik mendadak selepas hujan lebat lebih dua jam.

Penduduk Kampung Kerinting, Ishak Muda, 54, berkata jambatan itu mudah ditenggelami air apabila hujan lebat berterusan selama beberapa jam.

Katanya, ini kejadian kedua selepas jambatan itu ditutup pada 28 September lalu.

“Walaupun air sungai itu cepat naik tetapi ia akan surut serta-merta apabila hujan berhenti dan penduduk kampung hanya perlu membersihkan sisa kayu yang tersekat di situ.

“Kita menjangkakan kejadian sama akan berulang dalam masa terdekat susulan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini,” katanya.

Bagi Fazli Latiff, 39, pengguna boleh menggunakan jalan bandar baru untuk mengelakkan terkandas di kawasan itu.

“Jambatan Kerinting ini sebenarnya adalah laluan alternatif ke Lojing dan sering digunakan kerana jarak yang dekat.

“Sekiranya tenggelam, kami akan menggunakan jalan bandar baru biarpun sedikit jauh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 8:13 PM