Motosikal milik mangsa dan keadaan mayat selepas kemalangan di susur Lebuhraya Linkedua. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Sabran Md Sani
sab@nstp.com.my


PENGURUS syarikat maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya hilang kawalan lalu bergesel dengan besi penghadang sebelah kanan jalan dalam kejadian di susur Lebuhraya Linkedua menghala ke Kota Iskandar di Iskandar Puteri, hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian jam 10.46 pagi itu mengakibatkan mangsa Ahmad Ikram Rahamat Noor, 38, maut di lokasi akibat cedera parah di kepala.

Katanya, siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat kecuaian mangsa yang gagal kenderaannya.

“Mangsa yang menunggang motosikal dari arah Tuas menghala ke Kota Iskandar gagal mengawal motosikal ketika melalui selekoh di susur laluan berkenaan.

“Ia mengakibatkan motosikal mangsa bergesel dengan besi penghadang sebelah kanan jalan lalu terbabas,” katanya mengesahkan kemalangan itu.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan maut di lokasi oleh pasukan perubatan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan cuaca baik dan jalan bertar.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 6:20 PM