Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my


BUNYI letupan seperti mercun disertai asap hitam berkepul-kepul ke udara mengejutkan seorang pengawal keselamatan yang berada di pondok pengawal sebuah gudang simpanan barang di Teluk Panglima Garang, hari ini.

Lelaki itu S Mageswaran, 25, berkata ketika kejadian dia sedang membaiki motosikalnya di luar pondok pengawal berhampiran gudang terbabit.

“Ketika saya sedang baiki motosikal di luar pondok, saya terkejut mendengar bunyi letupan seperti mercun diikuti kepulan asap hitam di udara dan api mulai marak di bahagian tengah gudang.

“Bunyi letupan itu sekali sahaja, kemudian keluar asap. Saya terus menghubungi bomba pada ketika itu jam 12.48 tengah hari.

“Bahagian belakang bangunan ada pekerja dan mereka sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik gudang barangan runcit yang enggan dikenali memaklumkan ia adalah kejadian pertama berlaku di premis berkenaan.

“Dalam (gudang) ini ada pejabat, tempat simpanan stok barang runcit serta hostel pekerja di belakang.

“Kerugian keseluruhan belum dikira tetapi stok barang yang musnah dianggarkan kira-kira RM2 juta hingga RM3 juta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 5 Selangor Penguasa Kanan Bomba II Nik Mohd Fadhil Salleh berkata, gudang simpanan yang berkeluasan 2,787 meter persegi itu disahkan musnah 100 peratus.

“Bomba tiba di lokasi pada 12.53 tengah hari lalu terus melakukan kerja-kerja pemadaman dan kini masih dalam operasi pemadaman,” katanya yang juga Komander Operasi.

Katanya, seramai dua pegawai dan 32 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Panglima Garang, BBP KLIA, BBP Cyber Jaya dan BBP Banting terbabit dalam operasi itu.

“Bagi operasi ini, sebanyak dua tangki air digunakan termasuk dari BBP Pelabuhan Klang dan empat jentera,” katanya.

Turut menyertai operasi berkenaan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Panglima Garang Penolong Penguasa Bomba Mohd Hafizie Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 6:12 PM
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran di sebuah gudang simpanan barang runcit di Teluk Panglima Garang, hari ini. FOTO Faiz Anuar