Tengku Chik. FOTO FB Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Sharifah Mahsinah Abdullah
sharifah@nstp.com.my

IBU kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah meninggal dunia kerana sakit tua di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Allahyarham Tengku Chik Tengku Ibrahim, 80, menghembuskan nafas terakhir di sisi 12 anaknya termasuk Mohd Amar, pada 1.25 pagi.

Adik ipar Mohd Amar, Tengku Aizuddin Tengku Zainal berkata, arwah sudah berulang-alik ke HUSM sejak sebulan lalu untuk rawatan.

“Jenazah dibawa ke rumah arwah di Panchor, dan sejak pagi, ramai saudara dan sahabat yang berkunjung untuk menziarahi buat kali terakhir.

“Antara tetamu yang hadir termasuk Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan EXCO Kerajaan Negeri selain kerabat diraja Kelantan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tengku Aizuddin berkata, Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dijangka melawat jenazah sebelum pengebumian.

Katanya, solat jenazah akan diadakan pada jam 2 petang di Masjid Al-Amani, Pondok Tok Ayah Kedah dekat Kampung Panchor, di Kota Bharu.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Langgar di Mukim Panchor selepas itu,” katanya.

Tengku Chik atau lebih dikenali sebagai Mak Ku, adalah cucu kepada Raja Dewa (Tengku Long Zainal Abidin) dan cicit kepada Sultan Muhammad III.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 1:02 PM