SEORANG lelaki warga asing yang bersembunyi di siling rumah kongsi ditahan.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 126 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 20 tahun hingga 48 tahun ditahan pada Ops Sapu dijalankan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di lima lokasi sekitar ibu negara malam semalam.

Mereka yang ditahan membabitkan 97 lelaki dan 29 wanita warga Indonesia, Bangladesh dan Nepal.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, 55 pegawai dan anggota Imigresen Kuala Lumpur terbabit pada operasi bermula jam 11 malam itu.

Katanya, 226 diperiksa dan 126 melanggar pelbagai kesalahan imigresen.


WARGA asing yang ditahan dikumpulkan untuk urusan dokumentasi.

“Mereka yang ditahan membabitkan 64 lelaki Bangladesh diikuti 31 lelaki dan 29 wanita Indonesia serta dua lelaki Nepal.

“Semua mereka ditahan pada operasi dijalankan di sebuah rumah kongsi. Satu daripadanya terletak di Sungai Besi dan empat lagi di Segambut Tengah,” katanya dihubungi semalam.

Menurut Hamidi, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(I).

“Antara kesalahan dilakukan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan duduk di negara ini menggunakan dokumen serta permit palsu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 3:54 AM