ANWAR berucap pada Program Minum Petang bersama warga nelayan di Kampung Nelayan, Teluk Kemang. FOTO Bernama
Syed Umar Ariff dan Ifwan Tun Tuah
cnews@nstp.com.my


SELEPAS 20 tahun, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal bergabung menyampaikan ceramah politik bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Isnin ini.

Anwar yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson berkata, mereka bakal ‘menggegarkan' daerah ini dengan ceramah di pentas sama di PD Waterfront di Port Dickson.

"Jangan lupa malam Isnin ini, Tun Dr Mahathir akan datang. Ini kali pertama saya boleh berucap satu pentas dengan beliau selepas 20 tahun dan kami akan gegarkan Port Dickson," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis minum petang bersama nelayan di Kampung Nelayan Teluk Kemang, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin.

Anwar turut menyatakan kesyukuran terhadap perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dipimpin oleh Dr Mahathir sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang lebih tegas berbanding dirinya.

Terdahulu, Daim ketika berucap berkata, Anwar akan membantu penduduk Port Dickson termasuk nelayan.

Katanya, antara yang diberi perhatian adalah masalah pemasaran ikan yang menyebabkan orang tengah mengambil keuntungan berlebihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 8:01 PM