PESARA polis sempat merangkak keluar dari parit untuk menyelamatkan diri selepas motosikal ditunggangnya dirempuh pacuan empat roda di Jalan Tanjung Assam- Kampung Balingan. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


PESARA polis sempat merangkak keluar dari parit untuk menyelamatkan diri selepas motosikal ditunggangnya dirempuh pikap di Jalan Tanjung Assam- Kampung Balingan, Betong, semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa Nor Nusi, 60, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati Toyota Prado dipandu lelaki berusia 31 tahun dalam perjalanan menuju ke Kampung Balingan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggangi mangsa dikatakan keluar dari simpang rumahnya untuk memasuki jalan utama.

“Dalam keadaan jalan yang basah, pemandu pikap tidak sempat untuk membrek sebelum merempuh mangsa. Rempuhan yang kuat itu menyebabkan mangsa bersama motosikalnya tercampak ke dalam parit.

“Pikap berkenaan juga tidak dapat dikawal lalu terbabas sebelum terbalik masuk ke dalam parit sama namun, pemandunya sempat keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, mangsa dikatakan cuba merangkak keluar dari parit berkenaan untuk menyelamatkan diri namun tidak lama selepas itu dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian manakala pemandu yang mengalami kecederaan ringan sudah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 3:57 PM