SURATpenghargaan yang diterima oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya dari banduan Penjara Bentong. FOTO Twitter Tunku Azizah
Amin Ridzuan Ishak
cnews@nstp.com.my


“TUANKU seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat kerana sudi mencemar duli bertemu dan memberi tunjuk ajar kepada patik semua walaupun patik semua adalah banduan yang sedang menjalani hukuman di penjara.

“Jasa dan budi baik Tuanku akan sentiasa patik semua kenang selagi nyawa di kandung badan,” kata lima banduan di Penjara Bentong yang mengutuskan surat dan kain keruping kepada Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang dimuat naik baginda menerusi akaun Twitternya, @cheminahsayang.

Surat itu diutuskan lima banduan yang mahu dikenali sebagai Atan, Gafar, Black, Jimi dan Panjang, yang turut menurunkan cap jari mereka dalam surat berkenaan.

Mereka antara banduan yang mengikuti Bengkel Tenun Pahang Diraja, Penjara Bentong, Pahang.

Menerusi surat itu, mereka menyatakan penghargaan kerana diberi peluang bertemu dan berbicara dengan Tunku Azizah dan berterima kasih atas pelbagai sumbangan baginda kepada mereka.

“Diberikan peluang untuk belajar teknik-teknik menghasilkan kain bermula dari proses mewarna sehingga menenun kain sehingga menghasilkan produk di bawal label Tenun Pahang Diraja.

“Menerima sumbangan makanan yang tidak pernah patik semua mimpikan dapat menikmatinya dalam penjara.

“Memberikan peluang pekerjaan walaupun patik semua bekas banduan (yang) membuatkan diri ini rasa dipercayai dan dihargai,” katanya.

Sementara itu, Tunku Azizah yang terkenal dengan sikap mesra rakyat menyatakan rasa sebak menerima surat dan kain keruping itu.

“Hari ini saya menerima anugerah khas dari Jabatan Penjara Malaysia, terima kain keruping dari Penjara Bentong dan juga sepucuk surat dari banduan-banduan yang menenun kain terbabit...saya menangis, sebak,” titahnya.

Tunku Azizah sememangnya diketahui sering memperjuangkan seni kain Tenun Pahang Diraja yang berusia lebih 300 tahun dan mengasaskan latihan dalam penjara untuk banduan bagi mengeluarkan produk di bawah label Tenun Pahang Diraja.

Ogos tahun lalu, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim mengenakan kain Tenun Pahang Diraja pada majlis perkahwinannya dihasilkan banduan dari Penjara Penor yang dihadiahkan Tunku Azizah iaitu ibu saudaranya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 11:10 AM