Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my

CALON Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menang di Kelantan dengan memperoleh 5,211 undi pada pemilihan parti itu hari ini.

Penyandang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula mendapat 4,922 undi menerusi pengundian di 14 Cabang PKR di negeri itu yang berlangsung sejak jam 9 pagi sehingga 6 petang tadi.

Rafizi dikatakan menang di sembilan cabang termasuk di Bachok, Pengkalan Chepa dan Pasir Mas.

Naib Presiden PKR itu yang memuat naik status di laman sosial Facebook berterima kasih kepada sahabat di Kelantan dan Terengganu yang berkempen dan mengundinya.

“Saya menang di kedua-dua negeri. Saya juga terharu kerana dokongan dari cabang-cabang itu cukup jelas.

“Mengikut keputusan tidak rasmi setakat ini, saya menang tujuh daripada lapan cabang di Terengganu dan menang sembilan daripada 14 cabang di Kelantan.

“Ini meneruskan trend di Pulau Pinang dan Johor yang meletakkan saya di hadapan dari segi jumlah cabang yang menyokong dan mengundi saya, walaupun beza undi keseluruhan itu sangat rapat,” katanya.

Beliau berkata, perbezaan undinya dan Mohamed Azmin hanyalah 177 undi dari lebih 28,000 anggota yang sudah mengundi di empat buah negeri iaitu perbezaan 0.6 peratus saja.

Sehingga jam 10 malam ini, tiada keputusan rasmi yang dikeluarkan oleh PKR Kelantan berhubung pemilihan parti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 11:29 PM