BENDERA bomba, Jalur Gemilang dan negeri dikibarkan separuh tiang di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Georgetown. FOTO Danial Saad
Audrey Dermawan
audreymd@nst.com.my


SEMUA 18 balai bomba di Pulau Pinang serta ibu pejabat dan pangkalan udara di Bertam mengibarkan bendera Jabatan Bomba dan Penyelamat separuh tiang mulai hari ini.

Ia bagi mengenang enam rakan mereka yang meninggal dunia Rabu lalu ketika melakukan operasi mencari remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Puchong, Selangor.

Bendera akan dikibar separuh tiang selama tiga hari sehingga Ahad ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Mokhtar berkata, pasukannya juga mengadakan tahlil di surau di balai bomba, semalam.

Beliau berkata, mereka juga mengadakan bacaan Yassin dan tahlil di bangunan ibu pejabat di Batu Kawan hari ini.

“Kami sedih dengan insiden ini. Bagi semua anggota bomba di negeri ini, kami ingin memanjangkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban ketika bertugas,” katanya kepada NSTP.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan permintaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengibarkan bendera separuh tiang di semua Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negeri selama tiga hari bermula hari ini.

Langkah itu diambil bagi menghormati dan menghargai jasa dan pengorbanan enam anggota bomba yang meninggal dunia ketika misi mencari dan menyelamat.

Dalam kejadian itu, enam penyelam anggota bomba meninggal dunia dalam operasi mengesan remaja Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, yang lemas Taman Putra Perdana, Puchong.

Keenam-enam mereka ialah Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, Yahya Ali, 24, Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Adnan dan Muhammad Hifdzul bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam sementara empat lagi berkhidmat di Balai Bomba Pelabuhan Klang.

Mayat Muhammad Ilham dijumpai semalam dan dikebumikan hari sama di Tanah Perkuburan Islam Taman Putra Perdana.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 9:39 PM