LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Suhaila Shahrul Annuar
cnews@nstp.com.my

WARIS enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas di tebatan lombong Taman Putra Perdana, Puchong, akan menerima bantuan menerusi insurans, pencen dan kelayakan ex-gratia iaitu pampasan daripada Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB).

Bagaimanapun, jumlah sebenar pampasan dan bantuan yang akan diterima tidak dimaklumkan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, kebajikan anggota bomba termasuk warisnya sentiasa menjadi keutamaan.

“Memang kebajikan jadi satu keutamaan, dan kita akan cuba memberi seberapa banyak mungkin bantuan kepada keluarga mereka yang terbabit,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Mohd Hamdan Wahid.

Rabu lalu, enam anggota bomba berkenaan lemas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja yang terjatuh di tebatan lombong Taman Putra Perdana, Puchong.

Berhubung cadangan Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (WASC), Tan Sri Lee Lam Thye supaya siasatan khas bagi mengkaji prosedur operasi standard (SOP) berkaitan SAR di air, Raja Kamarul Bahrin berkata,

setakat ini, siasatan di peringkat kementerian memadai.

“Siasatan kita sudah memadai dalam skop yang biasa dijalankan dan tidak perlu lebih daripada apa yang biasa kita amalkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya meletakkan tanda amaran yang jelas di kawasan berisiko selain menutup dengan kadar segera kawasan yang berlakunya banyak kemalangan seumpama itu.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 5:18 PM