Orang ramai melihat lokasi kejadian enam anggota bomba lemas bersama seorang awam di Taman Putra Perdana Puchong.
Mohd Azam Shah YaacobFazrik KamarudinNurul Hidayah Bahaudin dan Teoh Pei Ying dan Faris Fuad
cnews@nstp.com.my

Puchong: “Tempat ini (lombong) menjadi tumpuan kaki pancing berhampiran daerah ini kerana banyak ikan,” kata penduduk Taman Putra Perdana di sini, Muhammad Hafiz Ahmad Sabree, 25.

Muhammad Hafiz yang juga peniaga berkata, antara jenis ikan diperoleh pemancing adalah toman dan talapia yang bersaiz besar.

“Orang ramai yang datang ke sini bukan saja memancing, malah bermandi-manda terutama golongan remaja dan kanak-kanak.

“Ketika hari tidak hujan, air hanya paras satu meter,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Mohd Zaidi Amin, 36, berkata, ada juga dakwaan daripada kaki pancing yang mengatakan lokasi berkenaan ‘keras’.

“Dakwaan itu diketahui semua kaki pancing yang kerap ke lokasi itu. Malah, ada pemancing mendakwa melihat lembaga hitam pada waktu senja.

“Kawasan itu dikenali sebagai pintu air D’Island dalam kalangan penduduk tempatan.

“Pada hari kejadian (kelmarin), ada penduduk yang berada di lokasi mendakwa melihat kelibat lembaga itu di kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, jalan belakang yang digunakan mangsa, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, bersama rakannya adalah laluan biasa dilalui kaki pancing lain.

“Laluan itu bermula dalam Taman Putra Perdana. Di penghujung laluan itu, ada denai kecil yang perlu melalui kawasan dipenuhi pokok petai belalang.

“Selepas kawasan denai itu akan menemui pintu air D’Island (lombong) berkenaan.

“Dalam kes terdahulu yang membabitkan dua lelaki tempatan, operasi menyelamat hanya mengambil masa enam jam. Tapi kali ini, pasukan penyelamat berdepan kesukaran melakukan operasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 2:15 PM