AHLI keluarga dan rakan Muhammad Ilham Fahmi berdoa di Tanah Perkuburan Taman Putra Perdana selepas jenazahnya selamat dikebumikan, malam ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


JENAZAH remaja, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, yang lemas di Lombong Taman Putra Perdana berhampiran perumahan D’Islands, di Puchong, selamat dikebumikan pada 11.25 malam ini.

Jenazah mangsa sebelum itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang bagi bedah siasat sebelum dibawa keluar pada 9.30 malam untuk disembahyangkan di Masjid Taman Putra Perdana.

Sebaik selesai solat jenazah di masjid berkenaan pada 10.45 malam, jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Taman Putra Perdana.

Kira-kira 150 ahli keluarga dan rakan mangsa hadir ketika upacara berkenaan berlangsung.

Sebelum itu, mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat pada 5.45 petang, kira-kira 800 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

NSTP melaporkan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ditemui lemas ketika melakukan operasi SAR Muhammad Ilham Fahmy yang lemas di lokasi kejadian, semalam.

Dalam kejadian itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, ditemui lemas ketika memulakan operasi pada 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 11:55 PM