ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengusung jenazah Adnan Othman, 33, di perkarangan rumahnya di Taman Jaya Lukut. Adnan seorang daripada enam anggota Pasukan Penyelamat dalam Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat remaja di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong. FOTO Bernama
BERNAMA

KETUA Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Borhan Dolah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Taman Putra Perdana, Puchong, malam tadi.

"Saya bagi pihak perkhidmatan awam ingin merakamkan takziah kepada keluarga enam anggota bomba yang dalam kerja-kerja menyelamat telah terkorban. Inilah yang saya katakan betapa tingginya pengorbanan kita (penjawat awam) dalam menyelamatkan orang awam.

"Ini merupakan satu tragedi kepada kita dan kita doakan semoga keenam-enam mereka ini ditempatkan di tempat yang tinggi di sisiNya, semoga keluarga dapat tabah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Bersama Penjawat Awam Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk membantu keluarga dalam menyelesaikan beberapa urusan berkaitan termasuk urusan pencen bagi kesemua anggota yang terkorban.

"Pengorbanan kita sebagai penjawat awam ini ada di mana-mana dan risikonya tetap ada kita harapkan semoga mereka dilindungi," katanya.

Enam penyelam PPDA JBPM lemas ketika melakukan operasi SAR seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada 9.15 malam tadi.

Kesemua jenazah mangsa disembahyangkan di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pagi tadi dan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 5:49 PM