OPERASI mencari remaja berkenaan diteruskan hari ini.
Fazrik Kamarudin dan Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my

PEMANTAUAN berkala perlu dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan kawasan lombong di Taman Putra Perdana berhampiran perumahan D’Islands, di Puchong, diceroboh orang awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Adhif Syan Abdullah berkata, lokasi lombong itu sudah diwartakan sebagai kawasan larangan orang awam.

“Di lokasi itu, sudah ada diletakkan papan tanda yang memaklumkan kawasan itu adalah kawasan larangan.

“Namun, lokasi itu kerap diceroboh terutama dalam kalangan kaki pancing walaupun sudah diletakkan tanda amaran di kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Adhif Syan berkata, sempadan kawasan itu perlu diletakkan pagar bagi mencegah orang awam memasuki kawasan itu.

“Kawasan ini sering menjadi ‘pilihan’ kaki pancing walaupun menyedari lokasi itu adalah kawasan larangan.

“Justeru, pemantauan berkala daripada PBT adalah penting bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang semula," katanya.

Katanya, pihaknya melalui Unit Pengurusan Bencana Selangor turut menyediakan keperluan asas kepada anggota penyelamat dan keluarga mangsa seperti makanan dan khemah.

NSTP melaporkan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ditemui lemas ketika melakukan operasi SAR seorang remaja lelaki, Mohd Ilham Fahmy Mohd Azzam, 17, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, ditemui lemas ketika memulakan operasi kira-kira jam 9 malam tadi.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 2:56 PM