DATIN Seri Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Murni Wan OmarKhairah N KarimAhmad Johari AliSarah ZulkifliFarah Marshita Abdul PatahRahmat Khairulrijal dan Faris Fuad
cnews@nstp.com.my


DATIN Seri Rosmah Mansor menggelengkan kepala dan mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan membabitkan diri dengan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM7 juta.

Beliau juga mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Isteri bekas perdana menteri itu kelihatan tenang setiap kali membuat pengakuan dan mohon dibicarakan atas semua pertuduhan itu.

Rosmah, 67, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dan menyebabkan hasil daripada aktiviti itu berjumlah RM7,097,750 juta dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148, Jalan Ampang, dekat Kuala Lumpur antara 4 Disember 2013 sehingga 8 Jun 2017.

Bagi perbuatan itu Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rosmah juga didakwa atas lima pertuduhan gagal membuat suatu penyata bagi pendapatan yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank miliknya itu.

Beliau didakwa gagal berbuat demikian sebagaimana yang dikehendaki mengikut Seksyen 77 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) dengan tiada sebab yang munasabah, bertentangan dengan Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, antara 1 Mei 2014 sehingga 1 Mei 2018

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Azura Alwi membenarkan Rosmah diikat jamin RM2 juta dengan dua orang penjamin.

Serta syarat tambahan iaitu Rosmah perlu menyerahkan dua pasport miliknya kepada mahkamah dan diperintahkan tidak mengganggu saksi kes itu.

Mahkamah juga membenarkan Rosmah membayar jaminan secara berperingkat dan perlu membayar RM500,000 hari ini.

Selebihnya Rosmah diminta membayar baki bayaran sebelum 11 Oktober ini.

Mahkamah menetapkan 8 November ini untuk sebutan semula.

Pendakwaan diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram dan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Datin Nurshuhaida Zainal Azahar, Mohd Farizul Hassan Bakri dan Poh Yih Tinn.

Manakala pembelaan diwakili peguam Datuk K Kumaraendran, Datuk Geethan Ram Vincent, Rajivan Nambiar, Revin Kumar, Teh See Khoon, Iskandar Shah Ibrahim dan Muhamad Aizat Fakri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 1:02 PM